Pages

Thursday, February 27, 2014

Yaya, Wan Raja rancang kahwin

KAKAK kepada pelakon jelita Emma Maembong, Rabbiati Adawiyah Ismail atau lebih mesra disapa Yaya Maembong mengakui dirinya kini sedang hangat menjalinkan hubungan percintaan bersama pelakon yang sedang meningkat naik, Wan Raja.
Berkongsi hobi dan minat yang sama, pelakon berusia 38 tahun itu mengakui, Wan Raja merupakan seorang yang memahami dan merupakan pasangan yang sesuai untuknya.
Yaya yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama terbitan RTM di Johor berkata, bukan mudah untuk dirinya mencari pasangan yang mampu memahami dirinya.
Sejak mula mengenali antara satu sama lain, dia akui berasa selesa dengan jejaka kelahiran Pulau Pinang itu.
Pasangan tersebut kini dilihat sudah bersedia dan komited untuk membawa hubungan mereka ke gerbang perkahwinan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon jelita tersebut?
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Wan Raja istimewa pada mata Yaya?
YAYA: Dia (Wan Raja) seorang yang memahami. Kami berkongsi banyak persamaan serta hobi yang sama. Dia juga seorang pelukis dan suka cabaran mendaki. Jadi, keserasian antara kami tersebut menjadikan saya dengannya lebih rapat dan sangat selesa di sisi dia.
Adakah Yaya dan Wan Raja bercadang untuk melangsungkan perkahwinan?
Ya. Kami memang serius dalam perhubungan ini. Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang dalam masa dua bulan akan datang, pihaknya akan datang merisik. Jika segalanya berjalan lancar dan mendapat persetujuan daripada bapa (Ismail), kami akan melangsungkan perkahwinan paling awal yang mungkin pada tahun ini.
Kenapakah Yaya mengambil masa yang lama untuk bertemu dengan bakal suami?
Bukan mudah untuk mencari seseorang yang memahami dan boleh berkongsi segalanya bersama. Bagi saya, kekuatan dalam perhubungan kami terletak kepada minat dan latar belakang yang sama. Dia (Wan Raja) merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara. Pada masa yang sama, saya juga lahir dalam keluarga seni.
Apakah yang membuatkan Yaya terbuka hati untuk berkahwin?
Memandangkan umur saya dan dia yang sudah mencecah 30-an, saya rasa sudah sampainya masanya saya serius dan berfikir untuk menjalinkan perhubungan ke peringkat yang lebih serius.
Apakah perkembangan terbaharu karier Yaya?
Saya kini baru selesai daripada penggambaran sebuah drama bersiri terbitan RTM di Johor yang dijangka disiarkan pada tahun ini. Selepas itu, saya akan mengambil sedikit masa untuk pergi bercuti di Gunung Kinabalu, Sabah selama empat hari dan balik semula ke sini dan akan memulakan penggambaran untuk sebuah drama lain.
Selepas berkahwin nanti, adakah Wan Raja membenarkan Yaya untuk meneruskan karier lakonan?
Ya, dia juga memang seorang pelakon dan penggiat seni. Jadi saya rasa, ia tidak menghalang saya untuk terus berlakon dan melakukan apa yang saya suka dan bersyukur. Dia sangat menyokong kerjaya saya sebagai seorang pelakon.



0 comments:

Post a Comment